Saturday, July 18, 2009

Memoir seorang guru


Judul Buku : Memoir seorang Guru

karya : Azizi Hj Abdullah
http://aziziabdullah.blogspot.com/2007/11/memoir-seorang-guru.html

Buku ini sangat sesuai dibaca oleh guru - guru dan juga yang bakal bergelar sebagai guru.

Watak utama adalah seorang ustaz yang telah bersara. Cerita bermula apabila anak gadis ustaz ini menyuarakan hasratnya untuk bekerja sebagai seorang guru. Si ayah sangat tidak bersetuju dengan kehendak anak gadisnya. Bermula dari sinilah si ayah mula menyelongkar kenangan silam, asam garamnya sebagai seorang guru. Cerita ini banyak menggunakan teknik imbasan dan si ayah seolah - olah sedang berbicara kepada anak gadisnya walaupun pada hakikatnya dia berbicara pada dirinya sendiri.
Kekeliruan membentak dalam hatinya, adakah dia benar2 ikhlas menjadi seorang guru atau hanya menjadi pekerja yang makan gaji. Isu keberkatan dikupas sebagai isu utama dalam novel ini.
Watak ustaz ini merupakan seorang yang pemarah, menilai pelajar berdasarkan fizikal, dan memandang mereka dengan penuh kebencian, bukan tidak ada pandangan kasih. Tetapi kadangkala situasi menjadikan beliau tidak mampu.

Memoir Seorang Guru mengisahkan seorang ustaz yang cukup berkeras melarang anak gadisnya bernama kamariah menceburi bidang perguruan kerana baginya bidang tersebut tidak mendatangkan keberkatan dan jauh sekali untuk mencapai tahap kemurabbian. Ini semua adalah disebabkan beliau tidak mahu anaknya mengikuti apa yang telah dilaluinya sepanjang mencurahkan ilmu kepada anak-anak bangsa.

Novel ini disusun dengan begitu baik sekali sehingga pembaca tidak terkeliru dengan latar masa yang dipersembahkan. Penulis menggunakan teknik imbasan yang begitu berkesan dalam menceritakan pengalaman ustaz mendidik setiap watak anak muridnya yang berbeza. Bermula dengan kisah Mat yang tercucuk selumbar kayu sehingga ditembak mati oleh ayahnya sendiri akibat tidak mahu Mat tersiksa menanggung kesakitan. Permulaan kisah ini diibaratkan oleh ustaz sebagai masyarakat yang tidak celik dan mundur sehingga beliau tidak ingin bertanggungjawab dalam masyarakat sebegini.

Kemudian pembaca dibawa menghayati kebencian ustaz kepada anak-anak muridnya yang mempunyai pelbagai ragam dan kisah yang mengundang simpati seperti kisah Sakinah yang bermata juling, kisah Mihad yang suka menangkap katak untuk dijadikan umpan haruan, kisah Alias yang tercedera telinganya akibat ditampar oleh ustaz serta kisah Mohd.Dhuha yang rajin mengerjakan solat sunat Dhuha dan meninggal akibat ditabrak kereta.

Penceritaan novel ini berakhir apabila ustaz yang sedang dalam perjalanan ke Johor untuk menemui Kamariah yang lari dengan menumpang di rumah pak cik selepas tiadanya kata putus daripadanya. Klimaksnya apabila ustaz menghadapi kemalangan dalam perjalanan tersebut. Sama ada ustaz masih hidup atau tidak, pembaca harus mendapatkan buku ini untuk mengetahui epilognya.

Sesungguhnya, novel ini cukup berkesan dalam menyampaikan peranan seorang guru melahirkan insan yang berguna. Ketika membaca novel ini, mengingatkan saya kepada para guru ketika bersekolah dahulu. Tanpa mereka, tidak mungkin saya dapat berdiri di mana berada sekarang. Semoga semua guru yang pernah mengajar dan mendidik saya mencapai tahap kemurabbian dalam hidup mereka.


Sinopsis belakang buku:


Bukan aku hina profesion pilihannya. Dan, bukan aku benci pilihannya itu. Dia tidak faham... walaupun mewarisi profesionku, ia bukan kebanggaanku. Malah aku tidak merestuinya. Namun dia tetap dengan pendiriannya. sikap & kemahuannya cukup keras sekali.


Ya ALLAH apalah dayaku utk menegahnya daripada meneruskan cita2 itu. Aku semakin dipanjat usia, namun kedegilannya membuatkan aku dilanda stres dan halimunan yg tidak berkesudahan.


Perlukah aku meluahkan apa yg pernah kurasai selama ini? Adakah dia akan mengerti aku membantah?


"Anakku... masakan engkau akan faham jika buktinya tidak diketahui? Namun, mahukah engkau dengar apa yg pernah bapa rasai dan alami sepanjang bapa menjadi guru?"


Kekesalan itu sering menghantui diriku. Aku ingin menjadi murabbi yg dipandang mulia dgn keberkatan profesionku. Tapi perasaan itulah yg sering datang dlm usaha aku menghapuskannya jauh dari sanubari ini. Ya TUHAN... ampunilah aku...


Memoir Seorang Guru... diwarnai dengan pelbagai gejolak rasa yg menyentuh perasaan. Padat dgn mesej yg tersirat utk dijadikan renungan bersama.


RM13.00
300 mukasurat
isbn: 9789831243152

No comments:

Post a Comment